Pengerusinya, Mohd. Termizi Aziz berkata, juadah itu diagihkan kepada petugas pada waktu malam di stesen minyak, universiti, balai polis, kedai serbaneka dan hospital bermula di Ladang Pasir Akar, Besut hingga ke Kampus Perubatan universiti itu di sini.

Katanya, program kali keempat itu merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan sempena Ramadan oleh Pengemudi Unisza dalam mendekati semua golongan yang bertugas pada waktu malam.

“Juadah diagihkan di lebih 40 lokasi persinggahan oleh 15 ahli Pengemudi bermula dari pukul 10 malam hingga 5 pagi dengan turut disertai Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.


Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan (tengah) bersama kakitangan Pengemudi yang terlibat dengan program sahur di Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.

“Semoga dengan sumbangan nasi beriani di samping air dan kurma ini membolehkan golongan sasar mengisi perut mereka semasa bersahur,” katanya di sini hari ini

Mohd. Termizi berkata, kesibukan sehingga terlepas waktu bersahur adalah lumrah bagi rata-rata mereka yang bekerja pada waktu malam kerana fokus yang tinggi terhadap tanggungjawab masing-masing. - UTUSAN ONLINE