Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya telah mengarahkan semua pengendali rumah bot agar tidak membawa pelancong ke destinasi itu berikutan keadaan air yang keruh dan tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci daripada pihak Jabatan Perhutanan dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Jabatan Perhutanan bersama Ketengah sedang melakukan pemantauan serta siasatan. Saya difahamkan kejadian itu mungkin sudah dua atau tiga hari berlaku.

“Berhubung dakwaan mengatakan kejadian itu berpunca akibat aktiviti pembalakan, saya belum boleh komen lagi sehingga kita dapat laporan lengkap daripada siasatan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gambar air terjun Lasir yang bertukar keruh tular di media sosial sejak semalam hingga ada kalangan netizen yang mendakwa kejadian itu disebabkan aktiviti pembalakan di hutan berdekatan.

Air terjun Lasir yang berketinggian kira-kira 500 meter merupakan salah satu destinasi perkelahan popular di Tasik Kenyir dan ia dilengkapi kemudahan seperti jeti, tandas, jambatan gantung dan laluan pejalan kaki untuk pengunjung. - UTUSAN ONLINE