Ahmad Samsuri berkata, tidak timbul isu meroboh atau memusnahkan bangunan yang tinggi nilai budaya dan sejarah itu sebaliknya, pelaksanaan projek berkenaan bakal mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan menarik bagi peniaga serta pengunjung.

“Pasar Besar Kedai Payang akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula). Saya lebih suka gunakan istilah itu dan bukannya roboh.

“Kita ingin beri nafas baharu supaya ia dapat berperanan sebagai tempat persinggahan bukan sahaja untuk berjual beli tetapi memaparkan unsur-unsur budaya, tradisi dan jati diri rak­yat Terengganu,” katanya selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Kira-kira 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang bakal dipindahkan ke premis baharu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan semula yang dijangka bermula bulan April depan.

Perancangan pembangunan Pasar Besar Kedai Payang itu akan berkonsepkan pengubahsuaian dan penambahan ruang serta kemudahan dengan turut mengekalkan corak perniagaan tradisional dan moden dalam persekitaran yang selesa.

Ahmad Samsuri turut memberi jaminan yang kesemua peniaga akan mendapat lot perniagaan masing-masing di premis sementara, Pasar Payang 2 yang terletak bersebelahan premis asal.

“Peniaga di premis asal yang akan berniaga di premis sementara dan apabila siap kelak, mereka ini jugalah yang berniaga di situ kembali. Tidak timbul nama akan dibuang daripada senarai dan lain-lain,” katanya.