Begitulah usaha pasangan kembar, Nur Athirah Nordin dan adiknya Nur Athilah yang mencipta kata kunci sendiri yang akhirnya membawa kejayaan dengan memperolehi 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan semalam.

Mereka yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah bergabung tenaga untuk menghasilkan kata kunci bagi membolehkan mereka memahami dan menghafal mata pelajaran Kimia, Biologi, Fizik serta Bahasa Arab.

Hasilnya mereka berjaya memperolehi gred A dalam empat mata pelajaran tersebut dan muncul antara empat pelajar sekolah itu yang memperolehi 11A dalam SPM.

Kejayaan anak kelima dan keenam kepada pasangan guru itu meneruskan kecemerlangan mereka yang sebelum ini memperolehi 11A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dua tahun lalu di sekolah sama.

Pasangan kembar itu yang lazimnya tidur sebelum pukul 12 tengah malam dan bangun sebelum waktu subuh itu sentiasa mengamalkan solat hajat, tahajud dan membaca al-Quran selain memastikan semua kerja sekolah disiapkan tanpa bertangguh.

Menurut Nur Athirah, hubungan dengan Pencipta amat penting selain sikap menghormati guru-guru dan tidak kedekut ilmu untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang memerlukan pencerahan dan bimbingan.

“Sebagai Guru Muda Bahasa Arab yang dilantik oleh sekolah, peluang ini saya manfaatkan untuk membantu rakan-rakan dan pada masa sama saya boleh memperbaiki prestasi diri sendiri dalam mata pelajaran tersebut.

“Jika ada sebarang pemasalahan dalam mata pelajaran tertentu saya akan cuba berjumpa guru untuk mendapatkan penjelasan, “ jelasnya yang pernah menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab peringkat kebangsaan.

Selain itu, Nur Athirah memberitahu, dia adik kembarnya itu masing-masing menjadikan keputusan setiap peperiksaan sebagai pembakar semangat dan persaingan sihat untuk mengatasi antara satu sama lain dan akhirnya mereka sama-sama berjaya.

Bagi Nur Athilah pula, dia aktif dalam kegiatan ko-kurikulum seperti Kuiz Bahasa Arab, Olimpiad Sains dan Syarahan peringkat negeri juga merupakan antara 27 orang pelajar yang terpilih untuk menyertai Rakan Elit Murid Intelligent Terengganu (REMIT).

“Menerusi REMIT, pelajar-pelajar terbaik dari setiap daerah berkongsi idea untuk membantu rakan-rakan supaya mereka juga mampu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, “ujarnya. - UTUSAN ONLINE