Rohimah dari Kampung Tengah Mengabang Telipot di sini merupakan antara 150 jemaah haji kumpulan pertama Terengganu yang berlepas menerusi penerbangan kira-kira pukul 1 pagi tadi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Madinah pada pukul 5.10 pagi.

Jurulatih Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ini berkata, panggilan haji yang ketiga itu amat bermakna buatnya dan bersyukur kerana diberikan peluang berharga tersebut selepas menempuhi dua kekecewaan sebelum ini.

“Surat tawaran haji diterima semasa hari jadi saya pada 22 Januari lalu dan ia merupakan hadiah terindah yang pernah saya miliki. Alhamdulillah, dengan izin Allah segala urusan berjalan lancar dan saya dapat dijemput ke sana pada tahun ini.

BAKAL jemaah haji, Rohimah Abdul Ghawi, 45, bersalaman dengan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahi

BAKAL jemaah haji, Rohimah Abdul Ghawi, 45, bersalaman dengan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah  dalam Majlis Pelepasan ke Tanah Suci Musim 1440H/2019 di dewan berlepas, Hotel TH di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE/ HARISH FADZILAH KASSIM

“Kali pertama saya mendapat tawaran haji pada tahun 2010 tetapi dengan berat hati terpaksa ditolak kerana baharu berkahwin dan kemudian, pada 2015 saya sekali lagi ditawarkan, namun akibat terlepas pandang surat itu, rezeki tidak berpihak kepada saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Pelepasan ke Tanah Suci Musim 1440H/2019 di dewan berlepas, Hotel TH di sini malam tadi.

Menurut Rohimah, sebagaimana impian jemaah haji lain, dia berdoa diberikan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci dan mendapat haji yang mabrur.

Katanya, kunjungan ke Tanah Suci itu turut disertai ibu saudaranya, Poziah Aziz, 54, yang turut menerima tawaran pada tahun ini, dan lebih manis apabila mereka yang pada mulanya berbeza penerbangan berpeluang berangkat bersama-sama.

Rohimah memberitahu, sebelum ini dia pernah mengerjakan ibadah umrah pada 2005 manakala suaminya, Harish Fadzillah Kasim, 45, selamat menunaikan haji, tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah, aturan Allah itu indah. Mudah-mudahan urusan saya dan rakan-rakan jemaah lain sentiasa dipermudahkan di sana,” katanya. - UTUSAN ONLINE