Demikian persoalan yang berlegar di fikiran dan tentunya di zaman sekarang memang diakui sukar untuk mencari peniaga yang menjual makanan dan minuman pada harga berpatutan, setimpal pula dengan apa yang disajikan.

Hakikatnya hari ini ramai mengeluh dengan harga yang dikenakan atas alasan kenaikan kos barangan sedangkan rasanya pula tidak seenak yang diharapkan, selain la­yanan serta khidmat pelanggan yang kadang­kala cukup menjengkelkan.

Namun warung milik Solehah Mustafa, 33, di Kampung Padang, Kemasik di sini ter­nyata berbeza dan itulah yang menyebabkan kedainya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan, tidak kira jauh atau dekat.

Warung yang terletak di jalan belakang Sekolah Menengah Badrul Alam Shah di sini menyediakan beraneka makanan seperti nasi lemak, nasi minyak, nasi goreng dan mee goreng dan minuman yang mana Harga yang dikenakan memuaskan hati pelanggan.

Rahsianya sudah tentu makanan yang dijual di situ rata-ratanya murah, termasuk sebungkus nasi lemak atau nasi minyak hanya dijual RM1 hingga RM2.50 sen manakala minuman sekitar RM1 hingga RM2 secawan dan kuih-muih pula dijual 20 sen atau 30 sen sebiji.

Pendek kata, de­ngan hanya bermodalkan RM2, perut sudah cukup kenyang yang tentunya membuatkan pelanggan Solehah tersenyum puas.

Solehah yang berasal dari Kampung Sungai Kerak, Marang dan mempunyai dua anak berusia empat dan tujuh tahun berkata, dia mula berniaga di situ sejak lebih empat tahun lalu bersama suaminya, Mohd. Azrizal Mohd. Don, 31, setelah kematian ibu mertuanya.

Sebelum ini, katanya, warung yang kenali Kedai Mak diusahakan Allahyarham ibu mertuanya, Siti Amrah Hamid sejak lebih 30 tahun lalu.

“Saya tak kisah jual makanan serta minuman semurah ini, saya dan suami tetap bersyukur kerana masih dapat untung dan menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga,”katanya.

“Niat kami ikhlas nak tolong orang kampung (pembeli), mereka bukannya orang senang, ada yang bekerja sebagai nelayan dan sebagainya termasuk pelajar sekolah. Sebab itulah saya jual dengan harga murah dan rezeki pun bertambah,” katanya yang memulakan perniagaan sesudah subuh sehingga pukul 2 petang.