Persembahan yang ditampilkan dengan asuhan bakat artistik, tanpa disedari mereka hanyalah kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang dibimbing untuk menjadi pewaris yang mencintai dan menguasai ke­giatan seni.

Mereka merupakan kalangan murid sekolah yang mewakili negeri dalam Fiesta Sanggar Mestika Peringkat Kebangsaan yang menjadi salah satu medan untuk mengukur bakat dan keupayaan.

Persembahan bertenaga penari dan penyanyi dalam Fiesta Sanggar Mestika Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu di sini baru-baru ini ternyata menambat hati hadirin.

Ini membuktikan usia yang masih muda bukanlah penghalang buat murid-murid dari 11 sekolah ber­prestasi tinggi dari seluruh negara itu untuk mengembangkan potensi masing-masing terutama dalam program berbentuk seni budaya.

Dalam penganjuran kali kedua Fiesta Sanggar Mestika itu, sebanyak 10 buah sekolah bertanding untuk tarian kreasi baru manakala bagi kategori nyanyian berkumpulan pula disertai lima buah sekolah.

Penampilan sulung Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Bukit Nanas 1, Kuala Lumpur dalam pertandingan itu membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai kedua-dua kategori.

Kemenangan berganda itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang trofi dan sijil penyertaan dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan, Jabatan Pelajaran negeri serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu.

Tempat kedua bagi tarian kreasi baru diraih oleh sekolah dari ne­geri ini iaitu SK Sultan Sulaiman 1 manakala ketiga, SK Seri Bintang Uta­ra, Kuala Lumpur diikuti pemenang lain, SK Sultanah Asma dan SK Ibrahim (Kedah); SK Tengku Ampuan Intan dan SK Sultan Ismail (Terengganu); SK Zainab 2 (Kelantan); SK Convent Greenland (Pulau Pinang) dan SK Convent Kota (Perak).

Bagi kategori nyanyian berkumpulan pula menyaksikan SK Perempuan Metho­dist, Kuantan, Pahang dipilih sebagai naib johan di samping SK Tengku Ampuan Intan (ketiga); SK Sultan Sulaiman 1 (keempat) dan SK Seri Bintang Utara (kelima).

Pengarah JKKN Terengganu, Hasryn Izzuddin Mohd. Khairy berkata, menerusi program itu secara tidak langsung dapat mendedahkan murid-murid sekolah rendah kepada salah satu cabang kesenian budaya negara disamping menggalakkan serta menarik minat mereka untuk mempelajari asas-asas tersebut.

Yang lebih mustahak platform ini memberi impak positif dalam memastikan generasi penerus seni budaya terus dilahirkan dan tidak akan pupus.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan mutu persembahan peserta, menang kalah adalah adat justeru saya berharap ruang ini mampu menjadi pemangkin untuk mereka memperbaiki kelemahan dan keupayaan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Penyelia Kanan Pengurus Projek Khas/Orang Asli/Kluster, Jabatan Pendidikan negeri, Mat Lazim @ Mahasan Noor dan Guru Besar SK Sultan Sulaiman 1, Mohamad Kabidi Mohamad.

Menurut Hasrynn Izzuddin, pihak JKKN sudah lama membina hubungan dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan termasuk menerusi program Tunas Budaya bagi sekolah rendah dan Giat Budaya untuk sekolah menengah.

Dalam pada itu, guru pengiring SK Convent Bukit Nanas 1, Rohaida Hashim berkata, kejayaan itu amat bermakna buat pasukannya walaupun latihan dan persediaan dibuat dalam tempoh singkat.

Katanya, ini merupakan kemenangan ketiga Kelab Seni Tari sekolah berkenaan dan terdahulu turut bergelar johan dalam pertandingan tarian di Kedah dan Cameron Highlands, Pahang.

Salah seorang murid yang mewakili SK Sultan Sulaiman 1, Nurshazreena. Mohd. Shis, 11, berkata, peluang berkongsi pentas sama dengan sekolah dari negeri lain sedikit sebanyak memberi inspirasi buat pasukannya untuk meningkatkan lagi kemahiran dan keupayaan seni tari mereka di masa hadapan.

Menyajikan persembahan bertemakan anak burung baniong, katanya, pasukan yang dianggotai 11 murid itu mengambil masa kira-kira dua minggu untuk berlatih dan usaha tersebut berbaloi apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kedua.