Pengarahnya, Ab. Rasid Jusoh berkata, inisiatif yang menjadi amalam lazim masyarakat dahulu kala bagi mengundang tetamu ke majlis yang dianjurkan itu telah digerakkan pada Khamis lalu dengan membabitkan daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Katanya, Program Madoh Daerah kemudian diteruskan lagi semalam ke Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

"Pendekatan ini sejajar dengan tema karnival iaitu Tradisi Diwarisi.

"Kita menjemput orang ramai untuk berkunjung ke Karnival Pantai Terengganu 2019 yang akan diadakan di Pantai Batu Buruk pada 12 hingga 16 September ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Ab. Rasid, Program Madoh Daerah turut mendapat kerjasama polis di samping konvoi bermotosikal oleh Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT) dan pasukan kenderaan pacuan empat roda di bawah Terengganu Adventure Group (TAG).

Karnival Pantai Terengganu yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Pantai merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri.

Karnival ini masih mengekalkan pembinaan bangsal-bangsal melatari kawasan pantai sebagai simbol warisan tradisi libur penduduk masa silam.

Tahun lalu, Daerah Kemaman muncul sebagai johan pertandingan Bangsal Tradisi Terbaik dalam karnival tersebut dengan mengetengahkan konsep Taman Alam Desaku yang menggabungkan elemen dasar laut di samping nostalgia zaman dahulu dan produk asli daerah. - UTUSAN ONLINE