Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi menyebabkan mangsa, Muhammad Shahrul Putra M. Saidi, 20, patah tulang peha kiri dan tulang selangka kanan manakala rusa betina juga mati di situ.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Bandar Kuantan, Pahang ke Kuala Terengganu.

Beliau memberitahu, setiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seekor rusa betina dengan anggaran berat melebihi 50 kilogram keluar dari hutan berhampiran sebelum melintas jalan.

Katanya, akibat terkejut dengan kemunculan haiwan itu, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu melanggar rusa tersebut sebelum terjatuh di atas jalan.

“Tidak lama selepas itu orang ramai cuba membantu mangsa sebelum pasukan perubatan tiba memberikan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Dr. Abdul Malik Mohd. Yusof ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“ Kita telah arahkan sepasukan kakitangan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kehadiran haiwan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti kehadiran haiwan itu datangnya dari hutan berhampiran atau sebaliknya. - UTUSAN ONLINE