Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih RM100,000 pada hari terakhir kaunter bayaran saman itu dibuka dari pukul 10 pagi sehingga pukul 6 petang nanti.

Salah seorang pengunjung, Yusof Mohd., 64, tidak melepaskan peluang dengan diskaun istimewa 50 peratus yang ditawarkan bagi menjelaskan kompaun akibat kesalahan melanggar lampu isyarat pada bulan lalu.

“Saya ke sini untuk melihat motosikal berkuasa besar dan sebaik sahaja mendengar pengumuman mengenai tawaran diskaun bayaran saman, saya segera ke kaunter bergerak PDRM di sini.

“Ini merupakan kali pertama saya disaman sepanjang lebih 40 tahun menunggang motosikal,” katanya kepada pemberita.

Seorang lagi pengunjung, Che Alias Zakaria, 30, berkata, pengurangan saman sehingga 50 peratus itu membolehkan pihak syarikatnya yang mengendalikan perkhidmatan pelancongan melangsaikan kesemua saman tertunggak sejak 2016.

Katanya, kebanyakan saman yang dikenakan terhadap kenderaan milik majikannya adalah atas kesalahan memandu melebihi had laju.

“Sebagai pemandu ada kala kita tidak tahu, tidak sedar dan tidak nampak papan tanda amaran had laju di sesebuah kawasan jadi menyebabkan ada daripada kami melanggar had laju ditetapkan.

“Sekiranya tanpa diskaun 50 peratus yang disediakan mungkin pihak syarikat perlu membayar sehingga RM3,000 untuk kesemua saman tertunggak sejak 2016,” katanya. - UTUSAN ONLINE