Kedua-dua anugerah tersebut membabitkan Kategori Berita Atas Talian Bahasa Melayu.

Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu, Wan Zulkifli Wan Yaacob mengungguli ruangan pendidikan manakala bagi ruangan penyelidikan diraih bekas wartawan Kosmo!, Kamariah Khalidi.

Wan Zulkifli turut menerima Anugerah Penghargaan Media bersama tujuh bekas pengamal media lain selepas menamatkan perkhidmatan pada November tahun lalu.

Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMT, Azizul Nizam Bidin; Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) universiti itu, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Wan Rahman Wan Abd. Hayat.

Sementara itu, Nor Aieni dalam ucapannya berkata, media memainkan peranan besar dalam memberi publisiti terhadap UMT sejak dari awal penubuhannya hingga kini apabila mampu menempa nama dalam arena pendidikan tinggi negara dan di peringkat global.

“Melalui proses evolusi tentunya UMT memerlukan publisiti yang banyak dalam usaha memperkasakan citra tempatan, citra kebangsaan dan seterusnya citra global.

“Alhamdulillah, dengan publisiti yang positif dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media selama ini, UMT kian gah menempa nama sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik, bahkan kita sangat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan-rakan media,” katanya. - UTUSAN ONLINE