Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada masa ini, umat Islam di Palestine, Syria selain China dan Myanmar sedang ditindas serta dizalimi di tanah air mereka sendiri dan penderitaan yang dialami perlu diberi perhatian dan bantu.

“Di sebalik kegembiraan kita sambut lebaran, jangan kita lupa umat Islam di negara lain yang kurang bernasib baik. Kita mungkin asyik dengan bunyi dentuman mercun atau meriam, tapi saudara kita di Palestine dan Syria berdepan dengan bom dan peluru.

“Begitu juga nasib umat Islam di China dan Myanmar yang ditindas di negara sendiri. Menjadi tanggungjawab kita untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan serta memaksimumkan doa agar krisis akan berakhir,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Ahmad Samsuri juga berpesan kepada rakyat negeri ini supaya memanfaatkan serta menghayati pengertian sebenar Ramadan untuk diterjemahkan dalam kehidupan.

“Jika Ramadan kita hayati dengan sebaiknya, kita tidak akan buang sampah merata, memandu lebih berhemah atau tidak melakukan provokasi di media sosial. Begitu juga dengan hal yang lebih besar termasuk dalam pentadbiran sesebuah kerajaan,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan golongan perantau yang pulang beraya agar berhati-hati ketika memandu dan berusaha mengelakkan tragedi dengan harapan perayaan disambut dengan kegembiraan bersama keluarga tercinta.

Menteri Besar turut menarik perhatian, Aidilfitri kali ini disambut selepas setahun pentadbiran kerajaan Terengganu yang baharu dan seluruh warga kerja perlu bermuhasabah melakukan perubahan untuk terus meningkatkan prestasi.

“Kami memikul tanggungjawab berat untuk merealisasikan maksud kesejahteraan kepada rakyat bukan sekadar di hari raya semata-mata. Semestinya ia amat memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat Terengganu,” katanya. - UTUSAN ONLINE