Penasihat teknikal silat sekolah daerah, Ahmad Nesfu Jusoh berkata, sekolah daerah Kemaman muncul johan keseluruhan bagi kategori DINI.


Menurutnya, seramai 270 orang dari 25 pasukan seluruh negara dan seorang peserta dari Uzbekistan menyertai kejohanan ini yang dipertandingkan mengikut kategori. 


Kategori DINI disertaii peserta berusia 7 hingga 12 tahun diikuti Remaja (13 hingga 17 tahun) dan usia Sukma (17 tahun ke atas).


“Kategori DINI merupakan nama untuk pertandingan silat olahraga peringkat kanak kanak. Pesilat kategori DINI terdiri daripada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) seluruh daerah Kemaman manakala kategori remaja, kita hantar pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Katanya, bagi kategori DINI, Mohamad Amsyaar Zayyan Zawavi, 8, dari SK Seri Kemaman menggondol pingat emas diikuti Mohd. Ikmal Hasif Azmi dari SK Teluk Kalong (perak), Siti Noraina Damia Ahmad Nesfu dari SK Bandar Baru Bukit Mentok (perak) dan Muhammad Afiq Mirza Syarifuddin dari SK Bukit Kuang (gangsa).


“Zul Fakiq Hakimi Zaidi, Nur Saidatul Syafiqah Aliesya Shamsul Haimy dan Nur Aina Shahirah Mohd. Azhar mendapat pingat perak manakala Aizat Farhan Azhari dan Nur Farisha Mohd. Fauzi (Gangsa) bagi kategori Remaja. Kesemua mereka dari SMK Chukai,” jelasnya.


Menurut Ahmad Nesfu, kemenjadian pelajar-pelajar sekolah yang menyertai silat sekitar daerah Kemaman dan beraksi di peringkat terbuka kebangsaan harus diiktiraf dan diberi penghargaan.


“Kokurikulum silat sekolah-sekolah Kemaman banyak membantu negeri dalam melahirkan atlet silat bertaraf kebangsaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE