Kejohanan yang antara lain bertujuan mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak itu dirasmikan oleh Menteri Besar yang juga ADUN Rhu Rendang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) di sini malam tadi.

Persaingan bermula dengan menyaksikan juara bertahan, Rusila melakukan sepak mula menentang Kelulut FC.

Pasukan lain yang turut menyertai kejohanan kali ini ialah Rhu Rendang, Sentol Patah, Seberang Marang, Rusila 2, Bukit Kemas, Bukit Gasing, Kijing Pantai, Gong Beris, Kampung Baharu Bukit Kecil dan Batangan.

Tidak ketinggalan juga pasukan Sentol Patah 2, Tertak Batu, Rhu Rendang Pantai, Kampung Paya, Bukit Che Ali, Medan Jaya, Kijing, Rhu Muda, Alor Pak Bang, Pulau Kerengga dan Rhu Dua.

Juara kejohanan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta piala pusingan diikuti naib juara (RM2,000), ketiga dan keempat (RM1,000) manakala tempat keempat hingga kelapan masing-masing menerima RM500.

Ahmad Samsuri ketika berucap merasmikan kejohanan itu berkata, kerajaan negeri komited merancakkan aktiviti pelbagai bidang sukan di daerah ini khususnya bola sepak supaya setanding dengan daerah lain di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, sebuah kompleks sukan yang dilengkapi pelbagai kemudahan gelanggang akan dibina di satu lokasi di atas tanah kerajaan berhampiran Padang Astaka MDM tidak lama lagi bagi memberi peluang kepada penduduk di daerah ini menjalani aktiviti bersukan.

“Insya Allah pada tahun ini, kita akan mulakan proses untuk perolehi kompleks sukan di daerah ini di bawah pembiayaan Kementerian Belia dan Sukan. Saya sendiri telah berbincang dengan menterinya (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang bersetuju dengan perkara tersebut.

“Kita akan bina kompleks ini secara berperingkat dengan menyediakan kemudahan asas seperti gelanggang terlebih dulu sebelum dilengkapi kemudahan lain. Dengan adanya kompleks ini nanti, daerah ini tidak lagi ketinggalan sebaliknya bangkit dan terus maju dalam bidang sukan termasuk bola sepak,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian tersebut.

Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE