Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang, Kapt. (PA) Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, kawasan yang terjejas adalah Jalan Merchang di Kampung Pulau Rusa namun masih boleh dilalui kenderaan di kedua-dua laluan apabila air dikatakan mulai surut lewat petang ini.

"Pukul 3 petang tadi hanya sebelah jalan yang boleh digunakan membabitkan jarak kira-kira 100 meter.

"Kejadian air naik merupakan kebiasaan di sini dan ia akan surut jika hujan berhenti," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt. Kol (PA) Che Adam Abdul Rahman berkata, amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi negeri ini yang bermula semalam dijangka berlarutan hingga esok.

Katanya, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan beberapa kawasan terutama di lokasi rendah, lembah dan berisiko banjir jika hujan berlarutan antara dua ke tiga hari.

"Seperti kita lihat keseluruhan daerah mengalami hujan renyai-renyai dan sering kali lebat terutama di kawasan pantai dan pedalaman di samping angin kencang dengan ombak yang mencapai hingga 3.5 meter di laut terbuka.

"Jadi, semua penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa bersiap-siaga dan bersedia untuk dipindahkan apabila diarahkan pihak berkuasa dan juga jika diminta berpindah awal di pusat pemindahan sementara berdekatan komuniti masing-masing," katanya. - UTUSAN ONLINE