Luah Siti Ruziana Sidek, 35, dia tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya setelah semalaman tidak lena tidur memikirkan nasib anak ketiga daripada empat beradik yang belajar di tahun tiga Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2 itu.

“Syukur apabila anak saya dijumpai dalam keadaan selamat dan tiba di Besut kira-kira pukul 4 petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja dekat sini petang ini.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia sangat gembira apabila dapat melihat wajah anaknya yang lebih dikenali dengan panggilan Eman di depan matanya hasil bantuan polis dan orang ramai.

“Semalam saya tidak lena tidur memikirkan keselamatan Eman dan bermacam perkara negatif bermain di fikiran termasuk kemungkinan Eman diculik,“ ujarnya yang kematian suami sejak tiga tahun lalu.

Muhammad Saiful Aiman dijemput oleh ibunya bersama guru besar Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, Zamri Mohd. Noor dan dua anggota polis di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pukul 12.20 tengahari tadi.

Menceritakan kisahnya, murid tahun tiga itu berkata, pada mulanya dia berkunjung ke rumah salah seorang kenalan ibunya yang dikenali sebagai Mok Noh, seorang wanita warganegara Thailand berusia lingkungan 60-an dan ingin mengikut ke negara jiran.

Sebelum ini Muhammad Saiful Aiman sering mengikut Mok Noh bersiar dan makan di kedai berhampiran tetapi tidak menyangka kali ini wanita tersebut hendak pulang ke kampungnya di Thailand.

Ketika dalam perjalanan ke Thailand, dia menaiki bas bersama wanita terbabit di pekan Kuala Besut dan seterusnya menaiki perahu menyeberangi sungai. - UTUSAN ONLINE