Beliau memberitahu, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan keperluan serta kehendak rakyat daerah berkenaan sekali gus menolak persepsi penduduk seolah-olah Hulu Terengganu agak terkebelakang berbanding kemajuan daerah lain.

“Kita (kerajaan) akan dengar serta cuba tangani pelbagai masalah yang dihadapi rakyat di daerah Hulu Terengganu ini, kita akan cuba bangunkan daerah ini sebagaimana di daerah lain di negeri ini,” katanya.

Menteri Besar menyatakan perkara itu ketika menjawab pertanyaan penduduk dalam sesi dialog sempena program `MB Mari Kampung Kite’ yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini petang semalam.

Kunjungan beliau diiringi isteri, Tuan Faezah Tuan Ab. Rahman diikuti Speaker Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; barisan EXCO Kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan negeri.

Majlis itu berlangsung secara santai kira-kira lebih sejam bermula pukul 2.30 petang dengan Pengarah Institut Modal Ihsan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah bertindak sebagai moderator.

Program itu juga merupakan siri keenam selepas Besut, Setiu, Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. - UTUSAN ONLINE