Pusat tahfiz yang masing-masing menerima sumbangan RM3,000 itu ialah Madrasah Tahfiz As-Sabiqun Bukit Kubang Jambu, Maahad Tahfiz As-Syifa Kuala Ibai, Tahfiz Al-Faruqi Bukit Kecil, Tahfiz Ar-Rahmah Kuala Bekah dan Madrasah Al-Muhsinin Losong.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan EPIC, Ahmad Amzad Hashim.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid dan Pengerusi Tahfiz Ar-Rahmah, Mustafa Said.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, program CSR yang diadakan itu sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, inisiatif tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka yang kurang berkemampuan dapat dibantu.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, Tahfiz Ar-Rahmah yang beroperasi pada 2016 itu kini mempunyai 55 pelajar yang berumur antara 13 hingga 18 tahun.

Katanya, pusat tahfiz itu turut menerima pelajar dari Vietnam dan Kemboja. - UTUSAN ONLINE