Timbalan Pengarahnya, Sharikan Bustaman berkata, kebiasaannya sebelum ini kebakaran tanah gambut kerap berlaku di Kampung Tok Kah, Dungun sehingga memakan masa dua bulan untuk padam namun kini dapat dikawal dengan adanya empangan mini dan telaga tiub.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas inisiatif mewujudkan infra seumpama itu.

“Pembinaan empangan mini ini dikendalikan oleh pihak JPS manakala peruntukannya pula disediakan oleh JAS bagi memenuhi keperluan JBPM memadamkan kebakaran tanah gambut,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembinaan Infrastruktur dan Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut di JAS negeri di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah (Bahagian Pembangunan) JAS Terengganu, Mohd. NorlI Abdullah dan Penolong Jurutera Kanan JPS negeri, Saifuddin Mohamad.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Jabatan Geosains dan Mineral Terengganu dan Pejabat Daerah terlibat.

Sharikan menarik perhatian, pihaknya merekodkan 245 kes kebakaran di negeri ini antara Januari hingga sekarang yang melibatkan kawasan seluas 132 hektar.

Daripada jumlah itu jelasnya, 105 kes adalah kebakaran tanah gambut dengan kes tertinggi dicatatkan berlaku di Kemaman iaitu 83 kes membabitkan keluasan 43 hektar.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, JPS akan membina lima lagi empangan mini iaitu masing-masing dua di Dungun dan Setiu manakala satu di Kemaman.

Tambahnya, setakat ini terdapat 46 empangan mini di seluruh negeri ini yang dibina sejak 2014 hingga tahun lalu. - UTUSAN ONLINE