Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat itu, namun pengguna dilarang untuk meletakkan kenderaan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan masing-masing di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan.

“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan.

“Semoga pembukaan jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan negeri Terengganu dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. sebagai operator jambatan angkat dan pada masa ini, pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. sehingga 30 September depan.

Beliau turut berharap agar agensi pelancongan dapat memasukkan agenda lawatan ke jambatan angkat itu dalam salah satu pakej pelancongan ke Terengganu, selain produk yang sedia ada.

Jambatan angkat itu ditutup pada 17 Jun lalu untuk kerja-kerja penambahbaikan selepas dibuka untuk tempoh percubaan selama dua minggu dari 2 hingga 16 Jun.

Jambatan yang menelan belanja RM248 juta sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu membolehkan pengguna menjimatkan masa perjalanan tidak sampai 10 minit dari Seberang Takir, Kuala Nerus ke pusat bandaraya. - UTUSAN ONLINE