Dua sub kontraktor itu ma­sing-masing dikompaun tidak melebihi RM25,000 kerana gagal mengisytiharkan projek pembinaan yang dijalankan.

Manakala 11 PATI yang terdiri daripada lapan warganegara Bangladesh, dua warganegara Myanmar dan seorang rakyat Indonesia ditahan di bawah kesalahan imigresen.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 10 pagi hingga lebih pukul 1 petang dilancarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terengganu dengan kerjasama sembilan agensi.

Pengarah CIDB Terengganu, Jasmi Mohd. Salleh berkata, sembilan agensi itu ialah Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerja, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata, lain-lain agensi turut serta ialah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Dalam operasi yang disertai 71 anggota termasuk pegawai penguat kuasa ini, seramai 57 pekerja, satu syarikat kontraktor utama dan dua syarikat sub kontraktor diperiksa.

“Daripada jumlah itu, dua syarikat sub kontraktor dikenakan kompaun kerana gagal isyti­har projek pembinaan manakala 11 PATI berusia 28 hingga 43 tahun ditahan di bawah kesalahan imigresen,” katanya selepas operasi tersebut di tapak binaan projek mega di Kampung Tanjung di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian, sepanjang tahun lalu, sebanyak 149 kertas siasatan dibuka melibatkan denda berjumlah RM80,000.

Katanya, denda itu dikenakan ke atas tiga kontraktor tidak berdaftar selain pekerja tidak memiliki Kad Personel Binaan dan pekerja mahir yang tidak diakreditasi.