Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot itu ditahan pada kedudukan 24 batu nautika dari Kuala Dungun pukul 10.24 pagi semalam.

Beliau memberitahu, empat nelayan itu terdiri daripada tiga lelaki warga Myanmar termasuk seorang tekong berumur 33 hingga 40 tahun dan seorang lagi warganegara Thailand berusia 33 tahun.

Katanya, siasatan mendapati pemilik bot itu dipercayai melakukan kesalahan termasuk menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah selain menggunakan saiz mata pukat kurang daripada 38 milimeter.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati bot terbabit tidak mempunyai alat pengesan vesel penangkapan ikan iaitu Mobile Transceiver Unit (MTU) Jabatan Perikanan Malaysia serta menggunakan peralatan radio dua hala tanpa sijil kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya di sini hari ini.

Menurut Rashidilhadi, selain bot yang ditahan, pihaknya turut merampas 3,000 kilogram ikan campur berserta diesel yang dianggarkan 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan yang kesemuanya bernilai kira-kira RM600,000.

Beliau memberitahu, bot dan hasil rampasan bersama awak-awak termasuk tekong dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - UTUSAN ONLINE