Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, menerusi pakej yang dikenali sebagai Jejak Warisan Pesisir Air itu, orang ramai akan dibawa menyusuri Sungai Terengganu dengan menggunakan bot penambang ke lokasi seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam, Pulau Duyong, Kampung Nelayan Seberang Takir dan Kampung Jeram.

Katanya, inisiatif bagi menonjolkan keunikan budaya, seni dan warisan negeri dalam usaha menarik lebih ramai pelancong itu sekali gus dapat mentransformasikan  perkhidmatan bot penambang di samping merancakkan kembali perusahaan pengangkutan tradisi yang telah berusia lebih 60 tahun itu.

"Kita akan bermesyuarat pada bulan ini dengan pihak yang terlibat untuk berbincang secara terperinci mengenai pakej tersebut termasuk keperluan untuk menaik taraf bot sedia ada.

"Saya percaya perkhidmatan bot penambang pelancongan akan menghidupkan Jejak Warisan Pesisir Air dan seterusnya membantu usaha menjenamakan negeri sebagai destinasi unggul yang berdaya maju dan mempunyai kelebihan kempetitif berbanding destinasi lain di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan insentif bernilai RM19,000 kepada 17 pengusaha bot penambang di Dewan Serbaguna Seberang Takir di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE