Syed Izz, remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) diijabkabulkan hari ini dengan pasangannya
Nur Najihah Mohamad, 24, gadis normal yang kini turut menjadi rakan sekerja di sebuah syarikat swasta.

Dia dan Nur Najihah adalah antara 31 pasangan muda yang kemudiannya diraikan dalam majlis Walimatulurus Perdana peringkat Parlimen Marang, di Rusila, di sini hari ini.

Tentunya akan menjadi memori indah buat mereka dengan kehadiran Menteri Besar, Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar yang merasmikan majlis bersama para pembesar negeri di samping anggota keluarga dan sahabat handai.

Menurut Syed Izz, dia berusaha menyimpan untuk menampung pembiayaan bagi majlis  seumpama itu apabila mereka awalnya memutuskan untuk berkahwin tahun depan.

"Syukurlah berpeluang menyertai program ini. Biasanya perlu lebih RM10,000 untuk majlis sebegini.

"Melalui program ini, tak banyak belanja. Urusan majlis termasuk pakaian disediakan," ujar yang bergerak dengan bantuan kerusi roda dan bertongkat

Syed Izz menceritakan, dia yang mengalami kekejangan saraf akibat demam panas sejak kecil mula mengenali hati budi isterinya sebagai kawan melalui Facebook sejak lima tahun lalu.

"Semuanya menerusi Facebook, saya cuba mengenali dan mendekati Nur Najihah dan kami menjadi kawan baik dan akhirnya timbul rasa cinta.

"Saya reda dengan keadaan diri, dan saya amat bersyukur kerana dapat bertemu jodoh
dengan seorang gadis yang memahami keadaan diri dan sedia terima saya," katanya yang berasal dari Kuala Ibai Kuala Terengganu.

Sementara itu Nur Najihah tidak pernah menyangka perkenalan mereka berakhir ke jinjang pelamin.

Menurut Najihah, cintanya terhadap Syed Izz Zaharuddin tidak pernah terhalang, sekalipun ketika
pertemuan pertama mendapati dia sememangnya mengalami sakit saraf dan berkerusi roda.

"Sebelum bertemu, Syed Izz Zaharuddin ada memberitahu keadaan dirinya yang sebenar dan selepas bertemu kami tetap meneruskan hubungan.

"Pada mulanya kami bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan Februari tahun hadapan tetapi setelah mendapat peluang istimewa ini, keluarga bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan pada hari ini.

"Malah keluarga saya juga selama ini tidak pernah menghalang hubungan cinta kami," ujarnya.- UTUSAN ONLINE