Lebih istimewa, dalam acara jualan makanan, Car Food Sahur 2019 itu, orang ramai turut makan bersila di atas tikar-tikar yang disediakan.

Wakil penganjur, Che Ku Basir Che Ku Maidin berkata, program tradisi tahunan setiap kali Ramadan itu diteruskan bagi edisi kelima dengan masih mengekalkan identiti pakaian tradisi.

Katanya, konsep yang berbeza itu sengaja ditampilkan bagi memelihara budaya tradisi tempatan dengan cara yang santai di samping menyuntik kelainan pada acara tersebut.

“Edisi kali ini lebih meriah dengan terdapat kira-kira 30 peniaga kreatif yang menyajikan pelbagai hidangan tradisi tempatan buat penduduk setempat untuk bersahur.

PENGUNJUNG menikmati juadah sahur bersila beralas tikar di Car Food Sahur, Batu Buruk. - UTUSAN ONLI

PENGUNJUNG menikmati juadah sahur bersila beralas tikar di Car Food Sahur, Batu Buruk. - UTUSAN ONLINE/ AZLAN BAHRUM

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan boleh dikatakan dalam tempoh hanya dua jam beroperasi pada pukul 12 tengah malam rata-rata makanan yang dijual peniaga habis dan terpaksa tutup awal berbanding waktu yang ditetapkan sehingga pukul 5 pagi,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Menurut Che Ku Basir, sambil menikmati hidangan pengunjung turut dihiburkan dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan dendangan kumpulan KT Busker.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Azila Mamat, 25, berkata, setiap tahun dia tidak melepaskan peluang ke Car Food Sahur kerana pilihan makanan yang disediakan banyak dan menepati selera orang muda sepertinya.

“Saya mencari makanan sahur yang ringan dan di sini macam-macam ada daripada nasi lemak, pulut mangga hingga ke makanan moden seperti takoyaki dan lain-lain.

“Memandangkan acara Car Food Sahur ini makin dikenali, jadi pengunjung pun semakin ramai dan kita terpaksa bersesak-sesak dan membawa tikar sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE