Zarhari Md. Noor, 43, yang menderita psoriasis sejak 20 tahun lalu berkata, penyakitnya kini sudah merebak ke tulang sekali gus menyebabkan tulang jari tangan serta kakinya membengkok hingga menyukarkan untuk bekerja.

Namun bapa kepada lima anak berusia antara 14 bulan hingga 11 tahun ini tetap gigih membanting tulang mencari dan menjual kotak terbuang di bawah terik matahari walaupun tindakannya itu hanya mengakibatkan kulitnya menggelupas dengan lebih teruk dan berdarah.

“Walaupun sakit tetapi saya terpaksa juga keluar mencari rezeki kerana ada keluarga yang perlu ditanggung, hari raya pun makin dekat.

“Selain kotak, saya kutip besi buruk dan selepas dijual bolehlah dapat dalam RM20 tetapi bukanlah hari-hari dapat jual sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Kemudi, Bukit Besi dekat sini semalam.

Menurut Zarhari, keadaan kulitnya yang mengelupas, bersisik dan berkuping menyebabkan dia dijauhi orang sekeliling bahkan, ada yang lari daripadanya kerana bimbang dijangkiti penyakit sama.

Katanya, bagi meringankan beban keluarga, isterinya, Siti Mastura Kamaruddin, 43, turut bekerja di kilang memproses ikan sejak lapan tahun lalu dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan namun, tidak lagi kini setelah syarikat itu menghentikan operasi pada awal Ramadan. - UTUSAN ONLINE