Ketua Polis daerah ini, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, kesesakan itu dijangka berlaku memandangkan mercu tanda ikonik baharu Terengganu itu semakin menjadi tumpuan ramai apatah lagi kepulangan perantau ke negeri ini untuk menyambut perayaan.

Beliau seterusnya memberi jaminan akan memastikan aliran trafik di kedua-dua arah di drawbridge itu berjalan lancar sambil dipantau balai bergerak yang ditempatkan di situ.

“Selain itu, kita juga akan tempatkan anggota trafik serta unit rondaan bermotosikal bagi mengawal keadaan kesesakan untuk memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, sepanjang tempoh percubaan drawbridge dibuka sehingga 17 Jun ini, anggota-anggota polis ditugaskan 24 jam mengikut syif.

Drawbridge yang menelan kos RM248 juta itu mula dibuka kepada kenderaan tepat pukul 7 pagi Ahad lalu untuk tempoh percubaan berakhir 17 Jun ini dan ia dijangka dibuka secara rasmi Julai nanti.

Jambatan unik sepanjang 638 meter dan satu-satunya di Asia itu menghubungkan pusat Bandaraya Kuala Terengganu ke Seberang Takir di Kuala Nerus.

Mercu tanda baharu itu yang dilengkapi empat menara setinggi 14 tingkat merupakan sebahagian daripada projek mega berimpak tinggi, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang bakal mengubah lanskap bandaraya ini kelak. - UTUSAN ONLINE