Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengorbanan dari segi perasaan, wang, masa dan tenaga amat dituntut demi menjadi hamba Allah SWT yang ikhlas dalam menempuhi perjuangan hidup.

Katanya, selepas lebih setahun menerajui negeri ini pelbagai pencapaian telah dikecapi hasil pengorbanan dan kerjasama semua pihak termasuk kalangan pegawai, agensi kerajaan, anak syarikat mahupun swasta di samping rakyat.

"Sokongan jitu amat diperlukan kerana rakyat ibarat akar yang menguatkan sebuah kerajaan tambahan pula, dalam arus pemodenan ini kita menghadapi cabaran di media sosial dengan berita tidak sahih yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menimbulkan prasangka serta emosi negatif dalam masyarakat.

"Akhir kata, saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Rhu Rendang) turut mengajak umat Islam menyerah diri kepada Allah SWT dan membangunkan modal insan dengan penerapan nilai murni serta memanfaatkan segala kemajuan dalam negeri. - UTUSAN ONLINE