Abdul Rahim Endut, 54, berkata, tiada apa yang lebih diharapkan mereka melainkan untuk melihat jasad insan tersayang, Mohammad Hafiz Abdul Rahim, 22, buat kali terakhir.

Katanya, kejadian yang menimpa anak keempatnya itu cukup mengejutkan keluarga dan kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Saya dapat panggilan daripada isteri pada pukul 10 malam, ketika itu saya yang sedang menangkap ikan di perairan Kemaman terus bergegas balik dan pergi ke jeti untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Saya yakin dia masih hidup dan mungkin bot anak saya rosak... namun saya serahkan semuanya kepada Allah dan sekiranya ditakdirkan dia sudah tiada, saya cuma berharap agar mayatnya ditemui agar kami sekeluarga dapat melihatnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Kuala Abang di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, bot yang dinaiki ketiga-tiga pekerja resort termasuk Muhammad Firdaus Mohd. Awalluddin, 25, yang dikatakan dalam perjalanan membawa bekalan keperluan ke Pulau Tenggol itu gagal dihubungi setelah bertolak dari jeti di Kampung Seberang Pintasan pada pukul 12.30 tengah hari.

Sehingga pukul 3 petang, bot terbabit masih gagal dihubungi oleh pihak pengurusan pusat peranginan itu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis sejam berikutnya.

Sementara itu, Nor Mohd. Helmi Mohamad, 25, percaya abangnya, Fauzi, 40, selamat kerana rakan abangnya yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa berjaya mengesan isyarat telefon bimbit lelaki tersebut.

Katanya, walaupun isyarat telefon bimbit abangnya itu gagal dikesan lagi tetapi nalurinya kuat mengatakan bot dinaiki mangsa mengalami kerosakan dan dihanyutkan oleh arus jauh dari perairan Pulau Tenggol.

“Firasat saya memang yakin abang dan rakan lain selamat sebab dia sudah biasa dan arif menggunakan perairan tersebut sepanjang lebih lima tahun bekerja di pusat peranginan itu.

“Namun semuanya atas ketentuan Ilahi dan sekiranya Allah lebih menyayanginya saya redha dengan apa yang telah berlaku dan sekurang-kurangnya biarlah kami dapat melihat jasadnya,” katanya.

Nor Mohd. Helmi dalam masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian bot terbabit. - UTUSAN ONLINE