Aktiviti akan dimulakan dengan gotong-royong di peringkat sekolah sendiri sebelum diperluaskan secara roadshow ke sekolah-sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut selama dua bulan.

Pengerusi program, Aziah Muhammad berkata, selain itu program turut melibatkan komuniti di kampung-kampung selain lokasi yang menjadi tumpuan ramai bagi menyampaikan mesej tentang bahaya nyamuk aedes dan denggi.

“ Usaha itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Klinik Kesihatan Kuala Besut bagi meningkatkan kesedaran semua pihak ekoran wabak dan kes denggi yang semakin meningkat di daerah Besut khususnya di kawasan Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Program Kesedaran dan Basmi Aedes Peringkat SMK Kuala Besut yang disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu-bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Katanya, menerusi ‘road show’ di sekolah-sekolah rendah itu nanti, mereka akan memberikan penekanan kepada pembasmian nyamuk aedes selain maklumat tentang 100 perkara mengenai demam denggi.

Tambahnya, usaha juga akan diteruskan dengan pemasangan perangkap nyamuk serta penanaman pokok anti nyamuk di lokasi terpilih untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya nyamuk aedes dan demam denggi. - UTUSAN ONLINE