Majlis penyerahan kepada peserta yang terdiri daripada belia, beliawanis, ibu tunggal dan suri rumah itu disempurnakan oleh Pengarah Kemas negeri, Dr. Faridah Mat.

Yang turut hadir ialah Pegawai Unit Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran Kemas negeri, Razali Mamat dan Penyelia Kanan Kemas Parlimen Setiu, Wan Ghafar Wan Mamat.

Penerima merupakan peserta kursus tiga hari dalam bidang bakeri, pastri dan jahitan jubah menerima peralatan seperti alat pengadun, ketuhar dan mesin jahit berkelajuan tinggi.

Dr. Faridah dalam ucapannya berkata, bantuan kit peralatan itu akan membuka peluang peserta memperolehi pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan sekeluarga.

Katanya, kemahiran yang diperolehi sepanjang kursus tiga hari dan bantuan peralatan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah kehidupan mereka yang dikategorikan sebagai golongan B40.

Sebelum ini, jelasnya, sebilangan peserta kursus dalam siri terdahulu sudahpun membuktikan dengan kemahiran yang diberi mampu mengubah kehidupan mereka menjadi bertambah baik.

Tambahnya, dengan kemahiran yang ada, mereka juga boleh memberi semangat dan galakan kepada ahli masyarakat lain yang mempunyai minat sama untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. - UTUSAN ONLINE