Lebih istimewa, setiap KRT berkenaan turut menyediakan satu hidangan untuk dijadikan sebagai juadah berbuka puasa kepada kira-kira 200 tetamu yang hadir dalam majlis berkonsepkan ‘hidang bertalam, duduk bersila’ itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemuafakatan KRT Daerah, Rashid Jusoh berkata, program yang julung kali diadakan itu merupakan antara usaha dalam mengembalikan nostalgia zaman perpaduan dan keakraban hidup orang Melayu dahulu.

“Orang Melayu memang terkenal dengan adat tradisi dalam majlis kenduri yang perlu dipertahankan kerana mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat ke arah mewujudkan semangat kerjasama dan keharmonian dalam kehidupan seharian.

“Konsep makan bertalam (makan dalam dulang), duduk bersila yang diketengahkan ini secara tidak langsung dapat menunjukkan kepada generasi muda bahawa inilah konsep makan kenduri yang diamalkan orang Melayu zaman dulu kala,” katanya kepada pemberita.

Yang hadir sama, Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud dan Pegawai Daerah Besut, Rozali Salleh.

Menurut Rashid, dalam majlis itu kesemua KRT sepakat untuk menghidupkan tradisi dan adat Melayu itu untuk dilihat dan difahami oleh generasi hari ini yang lebih cenderung kepada penyediaan makanan secara katering. - UTUSAN ONLINE