Perhimpunan bersejarah itu turut dihadiri ahli keluarga termasuk dari Selatan Thailand.

Allahyarham Tok Leh yang menetap di Jeram, Manir, Kuala Terengganu dikatakan berhijrah ke Kampung Pak Wong sekitar tahun 1930-an dengan membuka penempatan yang dinamakan Kampung Tok Leh.

Pengerusi program, Nawawee Mohammad berkata, pihaknya mengambil masa selama kira-kira lima bulan untuk mengumpulkan ahli keluarga dan usaha itu berbaloi apabila majlis berlangsung penuh meriah dengan kehadiran ramai saudara-mara.

Katanya, generasi pertama keturunan Tok Leh telah me­ninggal dunia manakala generasi kedua hanya tinggal 13 orang dengan yang paling tua berusia 95 tahun dan kini uzur.

“Ketika berhijrah, saya difahamkan Tok Leh membawa bersama pokok cengkih dan asam untuk ditanam, malah kampung ini juga suatu masa dahulu ter­kenal dalam kalangan daerah ini.

“Pertemuan seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan sila­turahim tetapi memastikan ikatan persaudaraan tidak terputus begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, bapa kepada Tok Leh yang berasal dari Pahang difahamkan pernah bekerja di istana kerabat diraja negeri itu sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Terengganu.

Katanya, sebagai kelainan dalam majlis julung kali diadakan itu, setiap keluarga membawa juadah masing-masing bagi dihidangkan dan dinikmati bersama sekali gus memberi lebih semangat serta keceriaan kepada semua waris.