Menurut Pengarah jabatan itu, Zawawi Ali, daripada jumlah itu, 12 bidang pukat pari dirampas di pengkalan nelayan di Sungai Buaya dan Kuala Dungun di Dungun di samping 11 bidang pukat di dua kawasan di Marang dan Kemaman (satu).

Katanya, operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa melalui Unit Perlindungan Sumber jabatan itu bertujuan mengekang operasi pukat pari yang telah diharamkan penggunaannya dalam kalangan nelayan.

“Pada 2018, sebanyak 55 ekor kematian penyu direkodkan dengan kebanyakannya adalah penyu agar.

“Fenomena ini amat membimbangkan seandainya masih tiada kesedaran semua pihak termasuk nelayan yang tidak memberikan perhatian atau menyelamatkan spesies terancam itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zawawi, pukat pari adalah pukat hanyut yang digunakan oleh nelayan dengan saiz mata pukat melebihi 10 sentimeter yang dilarang penggunaannya mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 Para 2 Jadual 4 di bawah Akta Perikanan 1985 (AP85). - UTUSAN ONLINE