Program yang bermula pukul 8 pagi dengan kerjasama BP Heathcare Kuantan itu membabitkan kakitangan enam buah syarikat perladangan iaitu, Ladang Hulu Chukai, TDM Plantation Sdn. Bhd., Ladang Mawar Sdn. Bhd., Ladang Chendana Sdn. Bhd., THP Ibok Sdn. Bhd. dan Ladang Ketengah Jaya Sdn. Bhd.

Pengurus Pejabat Perkeso Daerah Kemaman, Bunjamin Ahmad Almarzuki berkata, pihaknya mengambil inisiatif turun padang berikutan sambutan yang kurang menggalakkan terhadap program yang diperkenalkan sejak 2013 itu.

“Sebelum ini Perkeso memberikan baucer percuma kepada pekerja yang layak, namun tidak ramai yang menjalani saringan tersebut.

“Atas keperihatinan Perkeso tentang aspek kesihatan pekerja dan menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, kita turun padang bertemu pencarum berusia 40 tahun ke atas bagi melakukan saringan kesihatan secara percuma,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Bunjamin memberitahu, sebanyak 6,613 baucer telah dikeluarkan pihaknya sehingga semalam, namun hanya 369 pekerja atau 5.57 peratus sahaja yang telah menebusnya.

Katanya, pencarum boleh mendapatkam nombor baucer masing-masing melalui portal melalui https://sehat.perkeso.gov.my dan berkunjung ke mana-mana 83 klinik panel yang berdaftar di negeri ini untuk menjalani pemeriksaan itu.

Sementara itu, seorang pekerja, Sarifah Yunos, 53, berkata, ini merupakan kali pertama dia melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh berbanding sebelum ini cuma membuat pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula di klinik kerajaan.

“Terima kasih kepada majikan dan Perkeso yang menganjurkan program hari ini kerana kami dapat membuat pemeriksaan kesihatan dalam masa singkat secara percuma,” katanya. - UTUSAN ONLINE