Ketua Pengarahnya, Ir. Omar Mat Piah berkata, pada masa sama, pihaknya turut mengeluarkan 612 kompaun atas pelbagai kesalahan dilakukan majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Beliau memberitahu, jumlah kutipan kompaun yang diperolehi atas pelbagai kesalahan dilakukan majikan adalah sebanyak RM997,500.

“JKKP turut mengeluarkan 8,747 notis pembaikan serta 6,106 notis larangan dalam operasi mengejut bermula awal Januari hingga Jun lalu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan majlis Meraikan Pencapaian BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd. (BPPA) Beroperasi selama 20 tahun Tanpa Kemalangan (LTI) di Mesra Mall dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Eksekutif BP Petronas Acetyls Sdn. Bhd., Mohd. Roslan Ismail; Pengarah Bahagian Dasar Antarabangsa dan Pembangunan Penyelidikan JKKP, Ir. Dr. Majahar Abdul Rahman dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Hasnan Abdullah.

Ir. Omar turut menarik perhatian, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membayar pampasan sejumlah RM3.27 bilion kepada pekerja yang ditimpa kemalangan di tempat kerja dengan tahun lalu membabitkan seramai 35,460 pekerja.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 611 kes kematian dilaporkan berlaku dan 7,258 pekerja tempatan yang terbabit dalam kemalangan di tempat kerja mengalami pelbagai penyakit.

Selain itu, jelas beliau, tahun lalu Perkeso turut mengeluarkan RM7.5 juta untuk membayar pampasan insurans kepada pekerja asing.

“Kita akan terus lakukan operasi dan pemeriksaan mengejut ke atas semua sektor khususnya sektor pembinaan bagi memastikan setiap majikan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE