Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan lima blok RPMM empat tingkat membabitkan kos keseluruhan RM26 juta di kawasan seluas 1.7 hektar itu dijangka siap pada Jun 2021.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Terengganu dapat menghuni kediaman selesa dengan pelbagai kemudahan mencukupi untuk keluarga masing-masing.

“Pembinaan kediaman ini menyediakan komponen pembangunan yang membolehkan peserta menikmati kehidupan lebih baik kerana reka bentuknya boleh dikatakan paling moden dengan tempat letak kereta dan motosikal berbumbung di samping gajah menyusur atau laluan yang menghubungkan kelima-lima blok.

“Hal itu kerana dalam membangunkan sesuatu projek perumahan baharu kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan tempat tinggal semata-mata, malah kemudahan asas untuk keselesaan rakyat yang memenuhi aspek keselamatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Jembal di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh; Pegawai Daerah, Zulkifli Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

RPMM Tok Jembal yang ditawarkan dengan harga serendah RM68,000 seunit selepas subsidi kerajaan negeri dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air di samping turut menyediakan kemudahan lain seperti dewan terbuka, surau, gerai dan tadika untuk penduduknya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri mengambil perhatian keluhan rakyat di seluruh daerah yang masih belum memiliki kediaman dan perkara itu sedang diambil perjalanan oleh wakil rakyat masing-masing.

“Kita sedar rumah dan tanah merupakan dua isu yang sangat mendesak kepada rakyat dan antara keluhan yang dialami sejak puluhan tahun lalu.

“Permintaan untuk rumah tinggi tetapi kita mengalami kesukaran mencari kawasan yang bersesuaian terutama di kawasan padat penduduk seperti di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, justeru pencarian bagi menentukan tanah bersesuaian menyebabkan proses itu memakan sedikit masa,” katanya. - UTUSAN ONLINE