Ismail berkata, komuniti nelayan di kawasan selatan juga dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan tawaran pampasan yang bakal dikemukakan pemaju kerana kesan jangka masa panjang akibat projek PSR akan mengakibatkan nelayan kehilangan sumber pendapatan.

“Kesan akibat projek PSR nanti dijangka lebih buruk daripada apa yang sedang berlaku di kawasan Timur Laut kerana ia merupakan sebuah projek pada skala yang besar.

“Nelayan kawasan selatan jangan jadi macam kami, jangan kena macam kami disebabkan pampasan RM15,000 kami masuk dalam perangkap, ambillah iktibar daripada apa yang berlaku sekarang,” katanya dalam sidang akbar di Pondok Komuniti Nelayan Pengkalan Tanjong Tokong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, ahli-ahli serta wakil Komuniti Nelayan Pengkalan Gurney Drive, Pengkalan Paramount dan Pengkalan Tanjung Bunga.

Dalam pada itu, Pengerusi Komuniti Nelayan Pengkalan Tanjung Tokong, Mohd. Ishak Abd. Rahman berkata, token bernilai RM15,000 yang dibayar pihak pemaju kepada nelayan pada 2015 itu bukan pampasan yang wajar untuk kehilangan mata pencarian nelayan.

“Ketika itu, kami diberitahu jika kami tidak menerima token, kami tidak akan dibayar apa-apa lagi.

“Kami tidak dirujuk untuk berbincang mengenai pampasan, seolah-olah bila pemaju bayar RM15,000 ia seperti laut ini mereka punya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan Khas Komuniti Nelayan Tanjung Bunga, Ronald Khoo Boo Lye berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu masalah yang sedang dihadapi nelayan di kawasan Timur Laut sebelum menambak kawasan selatan untuk projek PSR.

“Kami nelayan di sini amat malang kerana nasib kami tiada siapa yang mahu ambil peduli.

“Kami hanya mahu meneruskan pekerjaan kami, kami minta bot berkuasa tinggi sejak empat tahun lalu namun tidak pernah dipedulikan permintaan kami, selesaikan dulu masalah kami sebelum mula tambak tempat lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE