Kemunculan Sophia di Forest City Sales Gallery menarik perhatian ramai dan melalui penampilan istimewa itu dilakukan dalam satu majlis khas memberikannya peluang melakukan demonstrasi dan berinteraksi dengan hadirin.

Menerusi interaksi dengan moderator bagi pihak Forest City, Sophia menyatakan hasratnya untuk tinggal di bandar pintar itu dengan teknologinya memainkan peranan dalam menjadikan kehidupan penduduk lebih selamat dan mudah.

Menurut Sophia, Forest City boleh menggunakan ejen maya atau robot untuk membantu perkhidmatan pelanggan, menjaga orang yang sakit dan warga tua serta menjalankan proses pembelajaran yang direka khas untuk pelajar.

Sophia di Forest City

KETUA Eksekutif Hanson Robotics, Jeanne Lim (dua kiri) bersama-sama wakil pengurusan CGPV, Shaw Luo dan Lenka Zhang dalam satu majlis khas bersama-sama robot humanoid sosial iaitu Sophia di Forest City Sales Gallery, Forest City. Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Robot yang dibangunkan pada 2016 oleh Hanson Robotics berpangkalan di Hong Kong itu turut berinterkasi dengan pengasas dan Pengerusi Country Garden Group, Yang Guoqiang, yang berminat melabur dalam bidang pertanian dan Kecerdasan Buatan (AI).

“Saya ingin bercakap dengannya (Yang) tentang bagaimana robot AI dan ejen maya seperti saya boleh menjadikan sesebuah bandar lebih pintar dan lebih menyeronokkan,” kata Sophia sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Sophia turut mengetahui bahawa Forest City berusia tiga tahun dan sehingga kini seluas 2.64 kilometer tanah telah ditebus semula dengan kawasan dibangunkan seluas 1.69 juta meter persegi manakala 2.04 juta meter persegi lagi sedang dalam fasa pembinaan.

“Jadi, anda semua sedang meletakkan Forest City di atas peta,” kata Sophia sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Sophia memuji Forest City kerana menerapkan elemen kehijauan, memperkenalkan sistem pengenalan muka bagi tujuan keselamatan dan kepelbagaian latar belakang pemilik rumah antarabangsa antaranya Malaysia, Singapura, China, India, Korea, Jepun dan Eropah.

Moderator Forest City memberitahu Sophia bahawa terdapat beting rumput laut yang besar berdekatan pantainya dan menjadi habitat bagi tapak sulaiman, kuda laut dan hidupan marin yang lain.

Forest City dan Hanson Robotics sedang meneroka peluang kerjasama pada masa depan dalam usaha menjalin kolaborasi dalam bidang robotik dan AI untuk diaplikasikan di pulau buatan tersebut.

Memandangkan sebahagian besar unit kediaman di pulau satu sudah didiami, Forest City mensasarkan pembinaan komponen industri sebagai sebahagian daripada sasaran Pelan Tindakan Industri Integrasi 2020 yang turut memberi tumpuan kepada bidang robotik dan AI. - UTUSAN ONLINE