Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, dapatan itu diperoleh hasil siasatan yang telah dijalankan unit aduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta keputusan laporan analisa contoh air sungai yang telah diambil.

Katanya, walaupun kesemua kilang tersebut telah dilengkapi dengan loji pengolahan sisa namun masih terdapat segelintir yang cuai dalam mengawal pelepasan dari premis hingga menyebabkan sisa dilepaskan tanpa diolah.

“Berdasarkan rekod, sebanyak lapan aduan pencemaran Sungai Kopok diterima oleh JAS sejak tahun lalu dan aduan tersebut berkaitan dengan perubahan warna air, air sungai berbau busuk dan pernah berlaku kejadian ikan mati.

TAN
TAN CHEN CHOON

“Hasil siasatan yang dijalankan JAS serta keputusan laporan analisa sampel air sungai mendapati punca utama pencemaran adalah pelepasan sisa industri yang mempunyai beban organik yang tinggi dari industri berasaskan minyak sawit seperti oleo chemical, asas sabun, biodiesel dan kilang berasaskan makanan,” katanya.

Beliau (PH-Jementah) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis S. Gopalakrishnan (PH-Tiram) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Chen Choon berkata, siasatan secara terperinci ke atas semua punca yang disyaki melepaskan sisa terus dijalankan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan seperti perintah penahanan operasi penangkapan, notis arahan, kompaun dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - UTUSAN ONLINE