Persidangan itu memberi pendedahan pengalaman berharga kepada golongan muda mengenai perjalanan DUN yang sebenar itu sebagai tempat menggubal perundangan dan dasar pentadbiran  bagi kepentingan negeri dan rakyat.

Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd. Zubir Embong berkata, kesemua 32 belia yang berperanan sebagai wakil rakyat mewakili setiap kerusi DUN memperlihatkan ciri ketokohan menerusi cara mereka berdebat dengan penuh adab, hujah yang bernas dan mengemukakan usul di samping mematuhi setiap peraturan.

"Mereka berhujah dengan yakin, bersama fakta-fakta yang tepat, dan ini merupakan satu perkara yang saya cukup kagum, malah saya percaya kalau mereka terus dibimbing,  ini suatu tanda  akan dipenuhi dengan golongan berkualiti tinggi sebagai pemimpin masa depan," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di luar dewan di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengerusi GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Dalam persidangan itu, wakil Alor Limbat, Ahmad Zakuan Zakaria, 21, dipilih sebagai pembahas terbaik dengan ketangkasannya mematahkan hujah wakil kerajaan berkait isu kesiapsiagaan Terengganu terhadap ekonomi digital menjelang 2023.

Sementara itu, Tengku Haphiz berkata, hampir 95 peratus 'wakil rakyat' yang ditampilkan dalam penganjuran kali kedua itu adalah muka baharu termasuk  tiga orang  pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah di Kemaman  dan  SMK Agama Sheikh Abdul Malek di sini.

"Sidang hari ini turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk soal aspirasi mereka dan kita percaya suara anak muda ini akan didengari oleh pihak kerajaan," katanya.-UTUSAN ONLINE