Kegagalan wakil rakyat itu dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat menyebabkan ramai tampil menzahirkan kekecewaan namun adakah luahan hati mereka benar-benar dipedulikan, Wartawan Utusan Malaysia, SITI ROHAIZAH ZAINAL menemubual Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari bagi mengetahui situasi sebenar yang dialami penduduk Shah Alam pada ketika ini.


UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana penerimaan rakyat di Selangor khususnya di Shah Alam terhadap kepemimpinan kerajaan negeri itu?

AZHARI: Semenjak parti pembangkang memerintah, rakyat khususnya di Shah Alam telah mula menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran mereka. Rata-rata rakyat sudah mula muak kerana pembangkang hanya membawa janji manis semasa pilihan raya, namun selepas itu menghilangkan diri.

Apa pendapat Datuk ber­kenaan banyak isu rak­yat yang dipolitikkan oleh pembangkang?

Perkara ini seharusnya tidak berlaku kerana isu rakyat tidak boleh dipolitikkan. Khalid sebagai Ahli Parlimen yang dipilih rakyat seharusnya turun padang mendengar keluhan dan menyelesaikan masalah rakyat.

Perkara ini banyak membabitkan golongan muda seperti isu penggunaan Stadium Shah Alam dan peluang perniagaan. Anak muda sering menyuarakan kekecewaan kerana tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan stadium itu digunakan oleh pasukan bola sepak Selangor.

Malah, bagi peniaga muda pula, mereka sering mengeluh ketiadaan saluran untuk menjalankan perniagaan dan kursus bagi membantu mereka dalam meningkatkan peluang pendapatan.

Adakah bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasaran?

Kebanyakan bantuan yang diwujudkan parti pembangkang hanya bersifat populis serta tidak menyeluruh kepada golongan sasar.

Lihat sahaja Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), bukan semua golongan suri rumah mendapat bantuan tersebut kerana difahamkan hanya 600 penerima daripada setiap Parlimen mene­rimanya. Adakah mereka sedar, di Shah Alam sahaja terdapat kira-kira 117,000 pengundi.

Malah, pelaksa­na­an Kad Peduli Si­hat oleh kerajaan ne­geri di bawah inisiatif penja­gaan kesihatan rakyat dengan pembiayaan sebanyak RM500 setahun dilihat tidak berkesan kerana terhad kepada rawatan tertentu sahaja.

Sekiranya diberikan mandat, apakah penambahbaikan yang akan dilakukan UMNO dan BN?

Kita tidak sekadar menabur janji tetapi akan berusaha menunaikannya. Contohnya, pemansuhan Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, pembinaan Hospital Shah Alam dan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia, Klang menjelang 2020.

Apa yang dilakukan adalah semata-mata demi rakyat dan bukan sekadar umpan politik. Antara yang akan kita lakukan adalah mengembalikan Stadium Shah Alam dan membina perumahan mampu milik dan transit belia. Pelaksanaannya pula bersifat menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua go­longan.

Pendapat Datuk ten­­tang ke­sedaran pe­ngundi di Shah Alam tentang pemilihan wa­kil rakyat?

Kita percaya pengundi sema­kin matang dalam menilai individu mana yang layak dan sering memperjuangkan nasib mereka. Sudah pasti mereka tidak mahu tertipu lagi dengan janji manis yang ditaburkan parti pembangkang.

Saya berharap pengundi di Shah Alam tidak akan tertipu buat kali ketiga dengan memilih wakil rakyat transit kerana mereka tidak akan dapat membantu selain hanya mencari platform untuk bercakap di Parlimen sahaja. Pengundi perlu memilih individu yang boleh memayungi mereka, bukan wakil rakyat yang menggunakan payung bocor.