“Hakim Mahkamah Syariah akan meneliti setiap kes dengan saksama mengikut pertimbangan agama dan undang-undang, latar belakang, kebajikan, serta faktor-faktor penting yang lain sebelum membenar atau tidak membenarkan permohonan perkahwinan remaja bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siti Zailah berkata, pihaknya sendiri telah mengambil langkah bertemu Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Syafie yang telah memaklumkan bahawa perkahwinan yang dibuat di Golok oleh pasangan berkenaan sebenarnya tanpa kebenaran majlis agama tersebut.

“Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat turut menjelaskan bahawa undang-undang di sini tidak membenarkan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur.

“Selain itu Baba Syafie turut memaklumkan tiada maklumat rasmi tentang isu ini serta tidak ada permohonan dibuat melalui pejabat beliau,” katanya.

Sementara itu, Siti Zailah berkata, pihak DMPNK menyambut baik siasatan awal yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan berharap agar kejadian sebegini tidak lagi berulang atau terlepas pandang.

Jelasnya lagi, pihaknya bersedia membantu dan menyokong sebarang usaha membantu kanak-kanak terbabit samada untuk mendapatkan keadilan di sisi undang-undang sekali gus membantu mendapatkan akses pendidikan yang lebih sempurna. - UTUSAN ONLINE