Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, sumbangan yang dijangka berjumlah RM120,000 itu diterima daripada sumbangan orang ramai, sektor kerajaan dan badan-badan korporat untuk diagihkan kepada keluarga termiskin.

“Program ini telah memasuki tahun ke-11 penganjuran yang berkonsepkan pembiayaan keperluan berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan dengan sumbangan berjumlah RM600 untuk seisi keluarga.

“Ia merupakan program meningkatkan kesedaran kepada orang ramai, sektor kerajaan dan korporat terhadap kepentingan bersedekah kepada keluarga miskin,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program tersebut di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan untuk menampung jumlah yang diperlukan dan memberi manfaat kepada lebih banyak penerima.

“Sumbangan boleh diberi dalam bentuk cek atau tunai terus ke akaun Bank Islam YBK bernombor 12038010002132 dan setiap sumbangan akan mendapat resit pengecualian cukai.

“Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Afifah Nazimuddin di talian 013-963 0100 atau 03-7875 0036,” - UTUSAN ONLINE