Yang Dipertua MPSepang, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, sasaran tersebut mampu dicapai kerana tahun hadapan juga merupakan Tahun Melawat Malaysia dan Sepang merupakan pintu masuk utama negara ini. 


Beliau berkata, Tahun Melawat Sepang 2020 yang bertemakan ‘Sepang Gerbang Negara’ pastinya amat dinanti-nanti oleh pengunjung kerana daerah ini menjanjikan sesuatu yang menarik untuk dinikmati.


“Tahun Melawat Sepang 2020 merupakan satu program yang selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020. Situasi ini sangat memberi kelebihan kepada Sepang yang menjadi pintu masuk utama ke Malaysia.


“Di Sepang, kita menjanjikan kelainan kepada pengunjung, pastinya keindahan Pantai Bagan Lalang akan menjadi tarikan utama selain Sungai Sepang Besar dan produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS),” katanya.


Beliau ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah Malaysia sempena Tahun Melawat Sepang 2020 di sini hari ini.


Menurut Mohd. Fauzi, pelbagai penambahbaikan telah direncanakan di kawasan pelancongan di Sepang bagi memastikan kawasan berkenaan menjadi ikon dan tarikan untuk pengunjung datang ke daerah ini.


Mengulas mengenai Konvoi Jelajah Malaysia, Mohd. Fauzi berkata, program yang melibatkan 50 peserta itu akan menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan Tahun Melawat Sepang 2020.-UTUSAN ONLINE