Usahasama bagi memajukan industri kreatif negara tersebut diilhamkan oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM Cawangan Puncak Perdana bersama Yayasan KRU, Smart Digital International Sdn. Bhd (SDI) dan Girls Republique Sdn. Bhd.

Untuk tujuan tersebut, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) disempurnakan oleh keempat-empat pihak tersebut di UiTM, semalam.

Melalui MOU tersebut, SDI bakal menyediakan satu saluran khas yang dikenali sebagai UNIC.

Menurut Presiden Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, kolaborasi empat pihak ini sememangnya akan memberi satu hala tuju baru yang positif dalam industri kreatif.

“Terima kasih atas peluang yang saya nanti-nantikan ini. Diharapkan MoU ini akan melahirkan lebih ramai lagi usahawan kreatif dalam kalangan orang muda.

“Selain menghasilkan bakat baharu, usaha ini diharap mampu menjana pulangan kepada ekonomi negara dan ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” jelas Norman yang berucap di majlis tersebut di UiTM Puncak Perdana.

Sementara itu, Dekan FiTA, Datuk Profesor Dr. A. RazakMohaideen pula melahirkan rasa bertuah kerana kerjasama ini memberi nilai tambah kepada para pelajar.

“Menerusi persefahaman yang ditandatangani ini, ia bakal menyediakan pelbagai medium pembangunan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang industri kreatif termasuk menyediakan ruang bagi penganjuran aktiviti bersama dan projek yang menjana pendapatan.

“Selain itu, pelbagai faedah bakal dihasilkan dalam memampankan bidang kreatif dan penyiaran secara atas talian,” katanya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, pengaran dan produser Yusry Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDI, Khairuddin Abd. Rahman, Ketua Pengurusan Kandungan SDI, Adlin Aman Ramli dan pengasas The Girls Republique, Datuk Abd. Rahman Soltan. - Utusan Online