Itu dilakukan seorang pengusaha kebun pisang, Mohd. Shahrin Yusuf, 37, apabila dia meninggalkan kerjaya tetap sambil mengusahakan tanaman itu seluas 3.2 hektar secara sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

Menurut Mohd. Shahrin, usaha itu dilakukan sejak empat tahun lalu dengan dua tahun pertama hanya memberi tumpuan sementara kerana masih bekerja dalam sektor swasta.

Tambahnya, selepas melihat hasil yang diperoleh itu, dia mengambil keputusan meninggalkan kerja makan gaji dengan memberi tumpuan penuh terhadap tanaman tersebut.

“Keputusan saya meninggalkan kerjaya tetap itu tidak sia-sia apabila memperoleh pendapatan RM150,000 setahun dan pisang berangan menjadi tanaman utama selain pisang tanduk,” katanya kepada Utusan Online di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dia menanam sebanyak enam ribu batang pokok pisang sekali gus menghasikan lima tan buah tersebut dan kemudian memasarkannya sendiri di kedai-kedai sekitar daerah ini.

Selain itu katanya, buah tersebut juga turut dihantar ke Lembaga Pemasaran Per­tanian Persekutuan (FAMA) untuk dipasarkan di sekitar negeri ini.

Menurutnya, selain pisang, dia juga turut mengusahakan tanaman lain seperti nanas, limau kasturi, terung dan cili bagi menambahkan lagi pendapatannya. - UTUSAN ONLINE