Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak berminat untuk melayan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli.

Tegasnya, ganja termasuk bawah Akta Dadah Berbahaya dan lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan.

“Buat masa ini saya tidak nampak keperluan untuk ia (tanaman ganja) dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam Mohd. Shaid mencetus kontroversi apabila mencadangkan Selangor sebagai pengeluar ganja terbesar di dunia.

Kata Mohd. Shaid jika Kuala Selangor dijadikan pusat tanaman, dijangkakan ganja mampu memberi hasil sejumlah RM9 juta setahun untuk ladang seluas satu ekar. - UTUSAN ONLINE