Mengakui kecewa dengan campur tangan pihak tertentu dalam soal berkenaan, walaupun perbincangan dan persetujuan daripada kerajaan negeri sudah diperolehi, Syed Saddiq berkata, kerajaan Pusat tidak akan berganjak dari ketetapan yang sudah dibuat.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan siapa yang campur tangan dalam kemelut terbaharu di Johor itu, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada orang ramai untuk menilaikannya sendiri.

“Kita sudah bincang lama dengan Exco Belia dan Sukan setiap negeri dan dapat persetujuan, cuma di negeri tertentu mereka memohon agar ada transisi tapi ada pihak kata jangan campur tangan dalam urusan negeri...Itu saya tak faham.

“Sebab kami sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan dapat persetujuan, tapi masih ada yang dakwa Pusat ingin masuk campur. Itu amat menyedihkan.

 

“Apa pun, saya bersedia untuk berjumpa Tuanku (Istana Johor) jika wujud keperluan tetapi saya tekankan lagi sekali, akta akan berkuatkuasa pada Disember 2021 dan sekarang proses transisi harus bermula,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Johor tiga kali mengubah pendirian dalam isu had umur belia tersebut dan ia dikaitkan dengan campur tangan pihak istana. – UTUSAN ONLINE