Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, setakat ini kertas siasatan berhubung perkara itu masih lagi berada di pejabat DPP untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, kita masih menunggu arahan daripada mereka untuk tindakan seterusnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 505C Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ogos lalu, tular di laman sosial berhubung tindakan syarikat tersebut yang mengeluarkan memo menyatakan pekerja tidak boleh solat ketika waktu bekerja dan hanya boleh melakukannya pada waktu rehat sahaja.

Syarikat tersebut turut menetapkan bahawa akan mengenakan denda RM500 untuk mereka yang ingkar arahan itu.

Malah, ketika syarikat tersebut menafikan perkara itu, salah seorang pekerjanya mengesahkan memo tersebut, namun pihak pengurusan syarikat telah menukar waktu rehat bagi menyelesaikan hal tersebut.-UTUSAN ONLINE